Ugutan melalui SMS, politik wang, negara diambang krisis kewangan yang mungkin paling dasyat sejak the "Great Depression", dan kemungkinan Umno, dari Perlis ke Sabah akan berpecah-belah, adalah alasan-alasan yang cukup munasabah untuk mempercepatkan Perhimpunan Agung Umno.
Justeru itu, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini perlu mengkaji semula keputusannya untuk menunda Perhimpunan Agung ke Mac depan. Sebaliknya, Perhimpunan Agung perlu diadakan selewat-lewatnya pada bulan Disember ini seperti cadangan asal.
Lima bulan adalah terlalu lama. Risikonya amat tinggi sekali. Calon-calon yang memegang jawatan kerajaan kini terlalu sibuk berkempen untuk jawatan dalam parti sehingga tugas-tugas kerajaan diabaikan.
Negara kini berada diambang krisis kewangan. Oleh itu, setiap pemimpin yang memegang jawatan kerajaan perlu menumpukan perhatian kepada pelan tindakan yang perlu diambil untuk mengelak krisis ini atau mengurangkan impaknya.
Semasa krisis kewangan 1997/98, Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan mesyuarat MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negara) setiap hari dari jam 9 pagi hingga 1 tengahari untuk meneliti data-data harian dan mengambil tindakan sewajarnya. Pada masa itu kerajaan begitu fokus sekali. Tindakan sedemikianlah yang membolehkan Malaysia keluar dari krisis kewangan lebih awal dari negara-negara jiran.
Kita juga telah mendengar rungutan dari beberapa orang pemimpin Umno bahawa mereka mendapat ugutan menerusi SMS untuk menyokong calon-calon tertentu dalam pemilihan Umno kelak. Ini adalah satu trend yang tidak sihat.
Dalam berpolitik, tempoh kempen yang terlalu lama akan mengundang perkara-perkara yang tidak diingini. Hari ini ugutan SMS, esok apa pula?
Majlis Tertinggi, sebagai badan yang bertanggungjawab bukan saja perlu mengambil tindakan yang akan menguntungkan Umno, tetapi juga perlu melindungi ahli-ahlinya.
Bermusuhan dalam politik adalah lumrah. Kalau tempoh kempen lebih lama, maka lebih ramailah musuh kita.
Menjelang PRU13, Umno perlu lebih kuat dan mantap, bukan lebih lemah dan bermusuh-musuhan.
Kegemilangan Barisan Nasional pra-2008 perlu dikembalikan. Untuk itu, sebagai parti komponen terbesar, Umno perlu diperkuatkan dahulu.
Hakikatnya ialah, di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Barisan Nasional hampir terkubur. Ianya mungkin akan terkubur pada tahun 2013 jika keputusan-keputusan yang diambil lebih mementingkan individu tertentu daripada parti.
Ia akan lebih menguntungkan Umno jika perhimpunan agungnya diadakan pada bulan Disember ini.
Kembalikan Kuasa Mutlak Raja
2 years ago