Monday, November 9, 2009

Negeri Sembilan - hobin jang hobin, Kelantan - Apa dah jadi?


Ramai juga yang bertanya mengapa saya sudah lama tidak menulis dalam blog ini. Banyak sebabnya. Sebab utama ialah saya masih lagi mempelajari liku-liku bidang media elektronik, setelah 5 bulan bersama TV3.

Walaupun agak sibuk, saya ketepikan dulu hal-hal di pejabat untuk berbicara tentang perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini yang dimenangi Negeri Sembilan, negeri kelahiran dan tanah tumpah darah saya. Memang banyak pun keringat dan darah saya tumpah di sana semasa saya mewakili pasukan hoki Negeri Sembilan satu ketika dulu.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada pasukan Negeri Sembilan kerana bermain dengan begitu cemerlang sekali dalam Piala Malaysia sehingga berjaya menjadi juara.

Yang mengecewakan ialah perangai peminat-peminat Kelantan yang tidak boleh menerima kekalahan. Mereka begitu fanatik dengan sifat kedaerahan. Kemudahan di Stadium Bukit Jalil dibakar dan dirosakkan, seolah-olah mereka ini imun daripada undang-undang negara. Kalau dibiarkan, mungkin seluruh stadium hangus dibakar. Saya sedih kerana merosakkan harta awam bukan budaya kita, bukan cara Islam.

Saya tidak suka mengaitkan sukan dengan politik kerana kedua-duanya seperti laut dan bumi, tetapi persoalan ini bermain di fikiran saya: Apakah generasi sebegini yang dihasilkan oleh kepimpinan PAS di Kelantan?