Sudah lama saya tidak menulis dalam ruangan ini kerana kesibukan tugas di TV3. Tetapi hari ini, saya rasa terpanggil untuk mencoretkan sepatah dua kata untuk Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, 72, yang telah kembali ke Rahmatullah pagi tadi.
Semasa betugas sebagai wartawan di New Straits Times dari tahun 1988 hingga 2004, banyak juga kenangan saya dengan Allahyarham, terutama sekali apabila membuat liputan Umno.
Seperti yang kita tahu sepanjang hayatnya, terlalu banyak sumbangan Allahyarham kepada kerajaan, Umno dan Barisan Nasional. Beliau menjadi setiausaha agung Umno dari 1988 hingga 1996 dan setiausaha agung Barisan Nasional dari tahun 1993 hingga 2004.
Beliau menjadi Ahli Parlimen Pulai (kerusi yang kini dipegang oleh anak sulungnya dan sahabat saya, Nur Jazlan) selama 30 tahun, dari 1969 hingga 1999.
Allahyarham sememangnya amat disayangi para wartawan dan editor di negara kita. Mungkin rakan-rakan wartawan yang seangkatan dengan saya akan bersetuju kalau saya menyatakan bahawa Allahyarham adalah Menteri yang paling "approachable" dalam era beliau. Sering juga beliau akan memanggil kami untuk memberi "background briefing" tentang isu-isu dalam Umno dan kerajaan. Ini amat memudahkan kerja kami.
Banyak juga saya dapat "tip-off" dari beliau. Sehingga hari ini saya tertanya-tanya, apakah tip-off ini memang dirancang beliau untuk membetulkan sesuatu yang tidak betul dalam Umno dan kerajaan. Memang sukar untuk membaca air-muka beliau yang bersahaja.
Oleh kerana beliau banyak mendapat kerjasama dari pihak Media, idea-idea yang dicetuskan beliau seperti SEMARAK dan SETIA akhirnya akan mencatat kejayaan. program-program beliau tetap didokong dan disokong oleh Media Massa di negara ini.
Kebetulan saya baru saja habis membaca buku yang ditulis oleh Allahyarham "Umno: Akhir sebuah impian". Buku itu hanya diterbitkan beberapa bulan lepas. Dalam buku itu beliau banyak mencoretkan kisah hidup dan pengalaman beliau semasa berkhidmat sebagai Menteri serta Setiausaha Agung Umno.
Saya mungkin tidak bersetuju dengan beberapa isu yang dibangkitkan Allahyarham dalam bukunya, tetapi saya tetap menghormati pandangan beliau.
Dalam buku itu juga, Allahyarham menyifatkan dirinya sebagai orang yang "paling dibenci" dalam pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mungkin ya dan mungkin tidak. Tapi itu kisah dulu. Umum mengetahui bahawa sumbangan beliau kepada agama, bangsa dan negara amat besar nilainya.
Hakikatnya, ramai yang terperanjat, sedih dan berduka dengan kembalinya beliau ke Rahmatullah. Saya adalah salah seorang daripada mereka.
Al-Fatihah...Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga Firdausi seperti yang dijanjikan kepada hamba-hambaNya yang soleh. Amin.